Followers

Artikel

Hakikat

Monday

Hakikat

Saat menyiapkan coretan ini, jam menunjukkan 3.40 pagi. Susah untuk pejamkan mata. Ini masa yang terbaik untuk 'update' blog dengan luahan rasa yang bermacam-macam. Walaupun kini, aku sedang dalam 'mood' peperiksaan akhir Tahun 2 Semester 2, aku belum sempat untuk menelaah subjek-subjek yang agak mencabar pada semester kali ini.

Kadang-kadang aku pernah terfikir tentang masa dalam kehidupan aku. Adakah selama ini aku benar-benar memanfaatkan masa remaja ini dengan perkara yang bermanfaat. Menghabiskan waktu dengan perkara yang baik-baik sahaja.

 Jawapan pada diri ini sememangnya TIDAK.

Aku tanya pada diri aku. Kenapa aku menghabiskan sisa-sisa waktu itu dengan perkara-perkara lagha dan sia-sia?

Membuang masa yang terluang dengan berborak kosong, mendengar lagu, bermain telefon dengan berwhatsapp, menghadap Facebook, dan tidur dan bermacam-macam lagi. Inikah yang patut membelenggu diri seorang yang bergelar mahasiswa? Kita sedar kita orang yang sedang 'menetap' dalam dunia pentarbiahan ilmu. Tapi kita endah tak endah dalam soal ini. Hanya memandang enteng perkara-perkara yang dianggap remeh temeh ini.

Kenapa?

Ada persoalan yang bermain-main di kotak fikiran. Waktu dahulu kita akan sentiasa untuk bangun awal pagi untuk ke sekolah. Boleh dikatakan pukul 6 pagi kita sudah 'bebas dari cengkaman' tilam yang empuk. Solat Subuh pun juga ditunaikan pada awal waktu.

Tapi ternyata berbeza. Bila sudah jauh dari ibu bapa, kita sudah bebas untuk berbuat apa sahaja yang kita suka di universiti ini. Kita bebas untuk bangun pada bila-bila masa sehingga terlajak dalam menunaikan solat Subuh. Hanya subuh gajah!

Begitu juga, jika zaman persekolahan dahulu, kita tahu dan 'sharp' dengan masa untuk datang ke sekolah. Pukul 7.30 pagi sudah berada dalam kawasan sekolah. Seolah-olah kita ini 'perfect' dalam menguruskan masa. Bijak mengatur waktu. Pintar dalam berperaturan.

Namun semuanya berubah. Kita di universiti tanpa rasa bersalah, masuk ke dewan atau bilik kuliah dengan muka selamba. Pensyarah pula yang datang awal daripada kita. Itu belum masuk bab membuat assignment, ujian dan peperiksaan.

Lemah dan lemas

Kita sebenarnya lemah. Betul. Nampak kuat kerana badan yang 'sado'. Tapi itu luaran. Dalaman pula bagaimana? Bukankah dalaman akan membentuk luaran diri kita?

Kita lemah dalam soal pengurusan masa. Kita tidak tahu mana yang lebih penting. Mana yang lebih utama dan untuk didahulukan. Walhal kita hanya ikut nafsu semata-mata dalam membuat satu-satu perkara. Kita tidak berfikir dengan akal. Kita tak ikut panduan al-Quran. Kita tak nak ikut suruhan Nabi.

Sebab apa? Sebab nafsu melebihi segala-galanya. Nafsu sukakan benda yang buruk-buruk sahaja tapi mata kasar kita dikaburi oleh nafsu yang bersarang dalam diri. Kita gagal untuk menggunakan mata hati.

Sebab itu kita lemas.

Kita lemas dalam mainan dunia. Dunia ini memang menyeronokkan. Kita akuinya. Kita sedarinya. Namun kerana kita meletakkan dunia di hati sehingga mengenepikan soal akhirat, begitulah jadinya.

Kita sibuk untuk mencari teman istimewa atau bercouple. Kita lembikkan hati untuk melayan perasaan-perasaan itu. Ya. Memang cinta itu fitrah. Tapi betulkah kita di landasan yang betul dalam melunasi fitrah yang sebenar? Yakni atas paksi agama, bukannya atas paksi 'rasa'.

Ada yang menghabiskan masa sehingga 4 pagi berborak kosong dan melepak di kedai-kedai makan. Mana 'manhaj' hidup kita? Ya. Kita masih muda. Kita masih remaja. Tapi, kenapa dengan sisa baki usia ini kita tak gunakannya ke arah perkara yang bermanfaat. Perkara yang membawa kita untuk lebih dekat pada Pencipta kita.

Apa perlu aku buat sekarang?

1. Betulkan kembali niat. 
Niat kita datang ke universiti ini untuk mencari ilmu dan menunaikan harapan kedua-dua orang tua. Jadi, jangan kita hampakan mereka. Jangan sesekali kita hancurkan impian mereka untuk melihat kita berjaya. Balas pengorbanan orang tua dengan kejayaan.

2. Manfaatkan masa.
 Ambil peluang kita di universiti ini untuk menjadi orang yang lebih bermanfaat kepada orang di sekeliling kita. Bahagikan masa kita antara bab dunia dan akhirat. Jaga solat. Perbanyakkan solat sunat. Baca al-Quran dan banyak lagi.

3. Sentiasa muhasabah diri. 
Carilah peluang dan ruang dalam sehari untuk kita melakukan muhasabah diri. Cermin semula diri kita. Kita kena renung diri kita setiap hari. Sebab apa? Kita takut kita mati dalam keadaan dosa dan hina. Muhasabah itu membawa kita menuju kehidupan yang lebih bahagia. 

Percayalah!

Selagi waktu masih berbaki, kita berkesempatan untuk berubah. Berhijrah dari perangai buruk kepada yang baik. Kita manusia. Kita juga pendosa. Istiqamah dalam melakukan penghijrahan. In shaa Allah. Jangan kita menjadi remaja durjana!