Saat menyiapkan coretan ini, jam
menunjukkan 3.40 pagi. Susah untuk pejamkan mata. Ini masa yang terbaik untuk
'update' blog dengan luahan rasa yang bermacam-macam. Walaupun kini, aku sedang
dalam 'mood' peperiksaan akhir Tahun 2 Semester 2, aku belum sempat untuk
menelaah subjek-subjek yang agak mencabar pada semester kali ini.
Kadang-kadang aku pernah terfikir
tentang masa dalam kehidupan aku. Adakah selama ini aku benar-benar
memanfaatkan masa remaja ini dengan perkara yang bermanfaat. Menghabiskan waktu
dengan perkara yang baik-baik sahaja.
Jawapan pada diri ini sememangnya TIDAK.
Aku tanya pada diri aku. Kenapa aku
menghabiskan sisa-sisa waktu itu dengan perkara-perkara lagha dan sia-sia?
Membuang masa yang terluang dengan
berborak kosong, mendengar lagu, bermain telefon dengan berwhatsapp, menghadap
Facebook, dan tidur dan bermacam-macam lagi. Inikah yang patut membelenggu diri
seorang yang bergelar mahasiswa? Kita sedar kita orang yang sedang 'menetap'
dalam dunia pentarbiahan ilmu. Tapi kita endah tak endah dalam soal ini. Hanya
memandang enteng perkara-perkara yang dianggap remeh temeh ini.
Kenapa?
Ada persoalan yang bermain-main di
kotak fikiran. Waktu dahulu kita akan sentiasa untuk bangun awal pagi untuk ke
sekolah. Boleh dikatakan pukul 6 pagi kita sudah 'bebas dari cengkaman' tilam
yang empuk. Solat Subuh pun juga ditunaikan pada awal waktu.
Tapi ternyata berbeza. Bila sudah
jauh dari ibu bapa, kita sudah bebas untuk berbuat apa sahaja yang kita suka di
universiti ini. Kita bebas untuk bangun pada bila-bila masa sehingga terlajak
dalam menunaikan solat Subuh. Hanya subuh gajah!
Begitu juga, jika zaman persekolahan
dahulu, kita tahu dan 'sharp' dengan masa untuk datang ke sekolah. Pukul 7.30
pagi sudah berada dalam kawasan sekolah. Seolah-olah kita ini 'perfect' dalam
menguruskan masa. Bijak mengatur waktu. Pintar dalam berperaturan.
Namun semuanya berubah. Kita di
universiti tanpa rasa bersalah, masuk ke dewan atau bilik kuliah dengan muka
selamba. Pensyarah pula yang datang awal daripada kita. Itu belum masuk bab
membuat assignment, ujian dan peperiksaan.
Lemah dan lemas
Kita sebenarnya lemah. Betul. Nampak
kuat kerana badan yang 'sado'. Tapi itu luaran. Dalaman pula bagaimana?
Bukankah dalaman akan membentuk luaran diri kita?
Kita lemah dalam soal pengurusan
masa. Kita tidak tahu mana yang lebih penting. Mana yang lebih utama dan untuk
didahulukan. Walhal kita hanya ikut nafsu semata-mata dalam membuat satu-satu
perkara. Kita tidak berfikir dengan akal. Kita tak ikut panduan al-Quran. Kita
tak nak ikut suruhan Nabi.
Sebab apa? Sebab nafsu melebihi
segala-galanya. Nafsu sukakan benda yang buruk-buruk sahaja tapi mata kasar
kita dikaburi oleh nafsu yang bersarang dalam diri. Kita gagal untuk
menggunakan mata hati.
Sebab itu kita lemas.
Kita lemas dalam mainan dunia. Dunia
ini memang menyeronokkan. Kita akuinya. Kita sedarinya. Namun kerana kita
meletakkan dunia di hati sehingga mengenepikan soal akhirat, begitulah jadinya.
Kita sibuk untuk mencari teman
istimewa atau bercouple. Kita lembikkan hati untuk melayan perasaan-perasaan
itu. Ya. Memang cinta itu fitrah. Tapi betulkah kita di landasan yang betul
dalam melunasi fitrah yang sebenar? Yakni atas paksi agama, bukannya atas paksi
'rasa'.
Ada yang menghabiskan masa sehingga
4 pagi berborak kosong dan melepak di kedai-kedai makan. Mana 'manhaj' hidup
kita? Ya. Kita masih muda. Kita masih remaja. Tapi, kenapa dengan sisa baki
usia ini kita tak gunakannya ke arah perkara yang bermanfaat. Perkara yang
membawa kita untuk lebih dekat pada Pencipta kita.
Apa perlu aku buat sekarang?
1. Betulkan kembali niat.
Niat kita
datang ke universiti ini untuk mencari ilmu dan menunaikan harapan kedua-dua
orang tua. Jadi, jangan kita hampakan mereka. Jangan sesekali kita hancurkan
impian mereka untuk melihat kita berjaya. Balas pengorbanan orang tua dengan
kejayaan.
2. Manfaatkan masa.
Ambil peluang
kita di universiti ini untuk menjadi orang yang lebih bermanfaat kepada orang
di sekeliling kita. Bahagikan masa kita antara bab dunia dan akhirat. Jaga solat.
Perbanyakkan solat sunat. Baca al-Quran dan banyak lagi.
3. Sentiasa muhasabah diri.
Carilah
peluang dan ruang dalam sehari untuk kita melakukan muhasabah diri. Cermin
semula diri kita. Kita kena renung diri kita setiap hari. Sebab apa? Kita takut
kita mati dalam keadaan dosa dan hina. Muhasabah itu membawa kita menuju
kehidupan yang lebih bahagia.
Percayalah!
Selagi waktu masih berbaki, kita berkesempatan untuk berubah. Berhijrah dari perangai buruk kepada yang baik. Kita
manusia. Kita juga pendosa. Istiqamah dalam melakukan penghijrahan. In shaa
Allah. Jangan kita menjadi remaja durjana!
No comments:
Post a Comment